Tuesday, October 18, 2011

BERSANGKA BAIK

Sangka baik dan kepentingannya dalam menarik kekayaan, kejayaan dan kebahagiaan.


Sebelum kita menggunakan LUA untuk menarik kejayaan, mari kita selami tiga asas penting LUA untuk menarik kejayaan dan kebahagiaan. Tiga asas penting ini ialah:
  1. Bersangka baik
  2. Bersyukur
  3. Sabar
Bersangka Baik

Seperti yang kita sedia maklum, Reticular Cortex (RC) sentiasa mengeluarkan frekuensi bersifat magnetik kepada alam semesta. Ini bermaksud, kita akan menarik apa yang kita fikirkan.
Jika kita fikirkan sesuatu yang positif, maka RC akan menghasilkan gelombang yang positif. Gelombang positif ini akan dipancarkan oleh RC ke alam semesta. Hasilnya, ia akan menarik semua perkara positif untuk mendekati kita. Ini akan mendekatkan dan memudahkan kita mencapai kejayaan dan kebahagiaan
Namun, jika gelombang negatif yang dilepaskan, maka perkara negatif jugalah yang akan tertarik kepada kita. Gelombang negatif mendatangkan banyak masalah, kegelisahan, dan kesukaran dalam hidup kita.
Menarik kejayaan dengan mengaktifkan RC

Untuk berjaya dan bahagia, RC perlu diaktifkan semaksima yang mungkin. Dr. Ibrahim Ahmad merupakan salah seorang usahawan yang menggunakan Teknik Pengaktifan RC bagi memajukan kerjaya dan perniagaannya.
Dalam satu temubual oleh Mingguan Malaysia pada 13 Mei 2007, beliau mendedahkan cara beliau berjaya menjadi jutawan. Apakah cara tersebut?
Beliau menampal simbol-simbol wang ($) hampir di seluruh ruang pejabat, meja, dan bilik beliau. Dengan cara ini, beliau telah mengaktifkan RC dan minda menggunakan gambaran atau simbol berkaitan wang. Pengaktifan ini berlaku tanpa kita menyedarinya.
Antara petikan kata-kata beliau ialah,
“Saya tidak menafikan, saya banyak menggunakan rahsia bawah sedar ini bagi merealisasikan semua impian dalam hidup saya. Daripada pengalaman hidup sendiri, saya adaptasikan dalam program latihan. Kalau tengok dalam pejabat saya, semuanya berkaitan dengan duit. Sebenarnya, kita mesti melihat benda yang betul kerana kehidupan kita dipengaruhi oleh sains bawah sedar.”

Tip-tip mengaktifkan RC

Menurut Amar Mahmood, penulis buku “Tarik Kekayaan Dengan Kuasa Minda”, RC boleh diaktifkan dengan beberapa cara. Antaranya ialah:
  1. Selalu membaca kisah-kisah kejayaan orang lain
  2. Selalu gambarkan diri dengan kekayaan
  3. Gunakan kata-kata kekayaan dalam kehidupan seharian
Ada sebuah kisah berkaitan dengan sikap baik sangka ini.
Seorang gadis yang baru habis bercuti ingin menaiki bas dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur. Disebabkan sesuatu perkara yang tidak dapat dielakkan, dia terlewat dan tidak sempat menaiki bas. Hatinya berasa kesal, gundah, dan marah kerana dia terpaksa membeli tiket lain untuk pulang ke Kuala Lumpur. Dia tertanya-tanya dalam hatinya, kenapa perkara ini perlu berlaku sedangkan dia mempunyai banyak urusan yang perlu diselesaikan di Kuala Lumpur.
Malam itu, pertanyaan itu berlalu tanpa sebarang jawapan.
Keesokan harinya, dia mendapat berita bahawa bas yang sepatutnya dinaiki semalam terlibat dalam satu nahas jalan raya. Sebahagian besar daripada penumpangnya cedera, malah ada yang maut dalam kejadian tersebut.
Apabila mendengar berita tersebut, barulah si gadis sedar kenapa Tuhan mentakdirkan dia tertinggal bas semalam. Dia sangat syukur. Perasaan gundah dan gelisah bertukar menjadi syukur dalam sekelip mata. Benarlah, setiap yang berlaku pasti ada hikmah dan kebaikannya yang tersendiri.
Sangkaan yang difokuskan dengan bersungguh-sungguh adalah satu doa. Saya tidak menyatakan bahawa semua orang yang mengaplikasikan LUA pasti mendapat apa yang dihajati. Banyak lagi faktor yang mempengaruhi kejayaan kita. Perkara ini akan dikongsikan dengan pembaca semua dalam tajuk-tajuk seterusnya.
Yakinlah, walaupun Allah kadang-kadang tidak mengabulkan sesuatu hajat kita secara terus, Dia pasti akan memberikan apa yang kita perlukan dalam hidup ini. Kita meminta apa yang kita mahu, dan Allah amemberi apa yang kita perlu.
Mungkin sesuatu hajat kita itu bukan yang terbaik untuk kita, lalu Allah mengabulkan kejadian yang sebaliknya yang merupakan keperluan kita yang sebenar. Sebab itulah kita perlu sentiasa bersangka baik dengan Tuhan, kerana di sebalik kesusahan pasti ada kesenangan.
“Sesungguhnya di sebalik kesusahan pasti ada kesenangan.”
(Surah Al-Insyirah, ayat 5)

Doa tidak makbul menjadi pahala
Saya teringat satu kisah yang disampaikan oleh guru saya. Kisah ini banyak membentuk diri saya agar sentiasa bersangka baik dengan Allah jika doa kita belum dimakbulkan. Ia juga banyak membantu saya membina ketenangan diri dan kekuatan dalam.
Guru saya bercerita,
“Pada hari kiamat nanti, seorang lelaki dimasukkan ke syurga dengan pahala yang terlalu banyak. Dia berasa hairan kerana sepanjang pengetahuannya, amal baiknya tidaklah sebegitu banyak. Lalu dia bertanya kepada Allah,

“Wahai Allah, dari mana datangnya kebaikan yang melimpah ruah ini?”
Allah menjawab,
“Ini semua adalah doa yang kamu minta di dunia, tetapi Aku tangguhkan supaya menjadi kebaikan buatmu di syurga”.
Lalu pemuda itu berkata,
“Jika ini hakikatnya, maka aku lebih rela semua doaku di dunia tidak dimakbulkan.”
Begitulah hebatnya kuasa doa, yang ada kaitan yang sangat rapat dengan LUA. Mari sama-sama kita ingatkan diri kita dengan kisah ini supaya kita sentiasa redha dan bersangka baik kepada-Nya.

“Tidak ada seorang muslim pun yang berdoa dengan doa yang tidak mengandungi dosa dan memutus hubungan silaturrahim, kecuali Allah akan memberikan kepadanya satu diantara tiga hal: dikabulkan doanya ; ditangguhkan hingga hari kiamat ; atau dijauhkan dari suatu keburukan/musibah yang serupa.”
(Hadis riwayat Ahmad, dari Abi Said Al Khudri)
Ringkasnya, antara perkara asas dalam menarik kejayaan, produktiviti dan kebahagiaan ialah dengan bersangka baik kepada tuhan. Setiap kejadian yang berlaku pasti ada hikmah yang tersembunyi.

“Setiap sesuatu adalah hikmah bagi sesuatu.” (Azzah Abdul Rahman)
Oleh itu, kita hendaklah sentiasa berlapang dada dengan apa yang berlaku walaupun apa yang kita hajati tidak berlaku. Yakinlah bahawa tuhan sedang merancang sesuatu yang lebih baik untuk kita. Saya yakin Allah yang maha memperkenankan hajat (as-Somad), sentiasa mendengar apa yang ada dalam hati kita.
“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya aku sangat dekat. Aku kabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepada-Ku…” (Surah al-Baqarah, ayat 186)


Yakinlah, sesuatu yang berlaku mempunyai hikmah dan kebaikannya yang tersendiri. Inilah asas yang perlu kita sedar dalam menarik kejayaan dengan LUA. Sangkaan baik menjadikan kita tenang dan bahagia. Tarikan positif terhadap kita bertambah kuat. Kejayaan dan kebahagiaan semakin mendekati kita.
(Tajuk Syukur dan sabar akan disambung dalam post seterusnya. Tungguuu… J)

“Tuhan tidak pernah penat mendengar doa kita, cuma kita yang sering lewat memanjatkan syukur. Tuhan tidak pernah memilih permintaan mana yang mesti dikabulkan. Kita yang memilih doa mana yang ingin dipanjatkan” (Azizah Aling)

No comments:

Post a Comment