Sunday, March 20, 2011

TIAP SESUATU BERMULA DENGAN NIAT.

Ingin tahu cara untuk mencapai tujuan anda secara terancang? Ikuti panduan berikut: Catatkan apa yang anda mahukan. Senaraikan. Niatkan bahawa anda ingin mencapai apa hajat anda. Ini adalah berhubungan dengan  psikologi - ANDA AKAN MENDAPATKAN APA YANG ANDA FOKUSKAN.  Jelaskan matlamat anda. Fokuskan matlamat yang terpenting. Apa yang anda catatkan itu akan menjadi niat atau matlamat anda – supaya anda tidak lari dari tujuan utama anda.
Ingatlah, apa yang anda catatkan sebagai niat anda, ia sebenarnya merangsang saraf dan sel otak dan ingatan anda, menjadi impian anda yang dan merupakan panduan bagi anda untuk bertindak. Otak anda hebat. Ingat. Berbillion sel dalam otak anda akan memandu anda untuk mencapai tujuan yang anda hajatkan dan niatkan.

Untuk Manfaat Seluruh Alam
Apabila anda membaca buku ini, niat kena lah betul. Kalau niat anda tak betul, sia-sia sahajalah perbuatan anda. Setiap amal seseorang adalah di kira daripada niatnya. Sekiranya niatnya betul, maka betullah perjalanannya. Dalam hal ini, niat anda untuk kaya mestilah betul dan waspada sekali.
Apa salahnya jika anda niatkan kaya untuk manfaat seluruh alam, untuk kebaikan keluarga anda, masyarakat taman anda, negeri anda dan seluruh dunia? Selagi kaya anda, selagi banyak anda boleh sumbangkan untuk kebaikan sejagat, lagi banyak anda boleh berderma, berfisabilillah, berjihad dan bantu-membantu sesama anda. Nabi Muhammad s.a.w. ada bersabda bahawa “Tiap sesuatu bermula dengan niat...”

Setiap Amalan Bergantung Dengan Niat
Peranan niat adalah amat penting dalam kehidupan manusia, kerana niat menentukan segala galanya sama ada jujur atau tidak jujurnya, sama ada ikhlas atau tidak iklas seseorang itu atau sebagainya, semuanya bergantung dengan niat.
Ulama’ kaum muslimin meletakkan niat itu sebagai rukun pertama dalam semua ibadat. Bahkan untuk membedakan antara ibadat dengan adat hanyalah dengan niat. Jika niatnya baik, baiklah amalannya dan begitulah seterusnya.
Sesuatu perbuatan adat jika diniatkan mengikut tuntunan dan keredaan Allah dan Rasulullah maka ia berubah menjadi ibadat dan mendapat pahala.
Penghijrahan manusia dari satu tempat kesatu tempat dari satu tugas kesuatu tugas. Dari satu hajat kesuatu hajat semuanya akan dilaksanakan mengikut apa yang diniatkan.
Rasulullah s.a.w. Bersabda yang maksudnya. “Sesungguhnya sah atau tidak sesuatu amalan itu, bergantung pada niat. Dan setiap sesuatu pekerjaan itu apa yang diniatkan. Maka sesiapa yang berhijrah semata mata taat kepada Allah dan Rasulnya, maka hijrahnya itu diterima oleh Allah dan Rasulnya. Dan sesiapa yang berhijrah kerana keuntungan dunia yang dikejarnya, atau kerana perempuan yang akan dikahwini, maka hijrahnya itu terhenti pada apa yang ia niat hijrah kepadanya.” H.R. Bukhari dan Muslim

Allah Memandang Kepada Niat Seseorang
Dalam melakukan sesuatu perkara, setiap dari kita mempunyai niat yang tersendiri yang berbeza-beza walaupun perlakuannya sama. Maksud niat di sini adalah tujuan sesuatu perkara dilakukan iaitu sejauh mana keikhlasannya kerana tidak dikatakan ikhlas sekiranya ada maksud tersurat di sebalik sesuatu perlakuan yang bukan kerana Allah. Lawan ikhlas adalah ria’ iaitu membuat sesuatu kebaikan dengan tujuan (niat) untuk menunjuk-nunjuk (mengampu atau membodek).  Seorang yang ikhlas dalam kerjanya akan melaksanakan kerja yang diamanahkan dengan bersungguh-sungguh tanpa mempedulikan pujian atau cacian.
Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya: “Sesungguhnya Allah s.w.t. tidak memandang kepada rupa paras dan harta benda kamu tetapi Allah hanya memandang kepada niat hati dan amalan-amalan kamu.” H.R. Muslim
http://www.frekuensikaya.com/

No comments:

Post a Comment