Monday, March 21, 2011

Akal, Otak, Hati dan Nafsu

Ketamadunan sesuatu bangsa diukur daripada kemajuan berfikir dan ilmu umat atau bangsa tersebut. Ia diukur dari banyak segi, sama ada dari segi sains dan teknologi, bahasa, sejarah, peradaban (akhlak), pemerintahan dan sebagainya. Otak memainkan peranan yang penting selain sumber kekayaan negara dan apa yang dianugerahkan kepada penduduk sesuatu tempat. Otak adalah anugerah Allah kepada manusia yang paling berharga dan ia adalah ciptaan yang paling hebat (sebaik-baik kejadian). Otak digembleng dan dikawal oleh hati iaitu seketul daging yang terdapat di dalam dada. Diri manusia terbahagi kepada dua unsur iaitu fizikal dan spiritual. Spiritual - termasuklah akal (diproses oleh otak), nafsu, perasaan dan yang paling utama ialah hati kerana tindakan, prilaku dan sikap seseorang dipengaruhi oleh hati. Hati dan perasaan haruslah dijaga dari sifat-sifat yang merosakkan (mazmumah). Ia hendaklah dipandu ke arah jalan yang betul berdasarkan ajaran Islam yang sebenar. Jika tidak, hati akan dikuasai oleh nafsu dan syaitan yang menyebabkan pelbagai penyakit seperti hasad dengki, tamak, pemarah, riya’ dan sebagainya. Maka untuk membersihkan hati yang kotor hendaklah membiasakan diri dengan berzikir, bertasbih dan bertahmid kepada Allah.
Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya: “Ketahuilah bahawa dalam jasad manusia ada seketul daging (segumpal darah), jika baik maka baiklah seluruh anggota dan jika rosak maka rosaklah seluruh anggota, itulah hati.” H.R. Bukhari dan Muslim
Nabi menyuruh kita berfikir dan menggunakan akal kita untuk  menyampaikan kepada ma'rifat Allah, Nabi s.a.w bersabda: “Fikirkanlah mengenai segala nikmat Allah dan pemberian-Nya dan janganlah kamu memikirkan tentang zat Allah." H.R. Ibn Umar r.a

Dalam sejarah manusia, telah berlaku angkara manusia-manusia yang angkuh seperti Firaun dan Karun dan telah mendustakan para Rasul iaitu Pesuruh Allah sedangkan kekayaan, kepandaian dan kekuatan mereka tidak sampai sepersepuluh (1/10 %) pun daripada umat-umat sebelum mereka. Akhirnya akibat keangkuhan itulah yang telah memusnahkan mereka.
“Dan (ketahuilah bahawa) umat-umat yang terdahulu sebelum mereka telah juga mendustakan (Rasul-rasulnya), sedang mereka (yang mendustakanmu) itu tidak mencapai satu persepuluh (dari kekayaan, kepandaian dan kekuatan) yang Kami beri kepada umat-umat yang terdahulu itu; setelah umat-umat itu mendustakan Rasul-rasulKu (mereka pun dibinasakan). Dengan yang demikian perhatikanlah bagaimana buruknya akibat kemurkaanKu (menimpa mereka).”
Surah Al-Saba’: 46
Pengajaran daripada ayat ini ialah bahawa, akal (otak) hendaklah dipandu oleh hati yang bersih, yang tunduk kepada Allah dan tidak angkuh kepada suruhan Allah. Akal yang tidak dipandu oleh wahyu dan roh Islam akan membawa kepada kesesatan dan kemusnahan.
http://www.frekuensikaya.com/

No comments:

Post a Comment