Sunday, March 20, 2011

Mengubah Apa yang Ada Pada Diri Anda

Sesuatu yang dinamik dan tidak statik bererti ia bergerak, berubah, menyesuaikan diri dan sentiasa berjuang untuk mencapai tahap yang lebih baik. Begitu juga manusia yang dijadikan Allah sebagai makhluk teristimewa, yang perlu mengubah sesuatu pada dirinya jadi hebat, mulia, lebih beriman dan mencapai apa juga tahap kebaikan. Dari segi sains jika sel yang terdapat pada badan seseorang itu mati, bererti matilah bahagian tersebut dan jika tidak ada penumbuhan sel yang baru maka bahagian tersebut akan lumpuh, atau jika kulit, ia akan menjadi kulit yang kusam dan tidak nampak cantik seperti mana pada kulit yang tumbuh sel baru.
Manusia tidak seharusnya berpuas hati apabila mencapai tahap yang tertentu dan tidak melakukan apa-apa selepas itu. Kita disuruh berhijrah, mencari penemuan yang baru, mencapai tahap yang lebih gemilang untuk faedah seluruh manusia dan masyarakat di sekelilingnya. Jika kita berpeluk tubuh sahaja dan tidak berusaha menambah apa yang ada pada diri kita seperti ilmu, usaha, ikhtiar, amalan dsb, maka jangan diharap orang lain akan melakukannya atau sesiapa sahaja akan melakukannya untuk diri anda. Kitalah yang perlu menggerakkan tulang empat kerat kita untuk mencapai sesuatu.
Allah s.w.t. telah berfirman di dalam al-Quran yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka.” Ar-Ra’d: 11
Allah telah berfirman bahawa nasib sesuatu umat tidak akan berubah melainkan mereka sendiri berusaha untuk mengubahnya. Oleh itu umat Islam hari ini perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk memperbaiki kehidupan mereka dan maruah mereka kerana sesungguhnya hanya orang yang bijak dan tegas dalam mempertahankan agama Allah serta beriman dan beramal soleh sahaja yang berhak mendapat pertolongan Allah s.w.t. dalam menghadapi ancaman musuh.
Ubahlah diri anda dengan mengubah minda, pemikiran anda, menambah ilmu anda, mencari idea baru dengan melihat negara dan tempat lain, berjalan, mencari peluang, membersih diri dengan berzikir, beruzlah, bermujahadah, bermuhasabah (self introspective) dan sebagainya. Jangan sempitkan diri anda dengan perkara-perkara yang negatif termasuk melakukan dosa-dosa sama ada dosa kecil atau besar. Ia juga akan menjerumuskan seseorang ke lembah yang hina atau yang tidak diredai Allah.
http://www.frekuensikaya.com/

No comments:

Post a Comment