Monday, March 21, 2011

JANGAN SAMPAI KAYA YANG MEMBINASAKKAN

Pencaci dan Pengkeji
Surah al Humazah telah memberi kita peringatan tentang bahaya bagi pencaci dan pengeji yang mengumpul harta dan menghitung-hitung kekayaannya.
“Kecelakaan besar bagi tiap-tiap pencaci, pengeji, Yang mengumpulkan harta dan berulang-ulang menghitung kekayaannya; Ia menyangka bahawa hartanya itu dapat mengekalkannya (dalam dunia ini)! Tidak! Sesungguhnya dia akan dicampakkan ke dalam ‘Al-Hutamah’.”  Surah Al-Humazah: 1-4

Dilalaikan oleh Harta Benda, Anak-Pinak, Pangkat dan Pengaruh
“Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak pangkat dan pengaruh), Sehingga kamu masuk kubur. Jangan sekali-kali (bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk semasa hendak mati)!” Surah Al-Takassur: 1-3

Manusia Tidak Bersyukur dan Sangat Sayang Harta (Secara Haloba)
“Sesungguhnya manusia sangat tidak bersyukur akan nikmat Tuhannya. Dan sesungguhnya ia (dengan bawaannya) menerangkan dengan jelas keadaan yang demikian; Dan sesungguhnya ia melampau sangat sayangkan harta (secara tamak haloba). (Patutkah ia bersikap demikian?) Tidakkah ia mengetahui (bagaimana keadaan) ketika dibongkarkan segala yang ada dalam kubur? Dan dikumpul serta didedahkan segala yang terpendam dalam dada? Sesungguhnya Tuhan mereka Maha Mengetahui dengan mendalam tentang (balasan yang diberikanNya kepada) mereka – pada hari itu.” Surah Al-‘Aadiat: 6-11

Harta Tidak Dapat Menolong Pada Hari Akhirat
“Dan apakah pertolongan yang dapat diberi kepadanya oleh hartanya apabila ia telah terjerumus (ke dalam azab seksa hari akhirat)? Sesungguhnya tanggungan Kamilah memberi hidayah petunjuk (tentang yang benar dan yang salah). Dan sesungguhnya Kamilah yang menguasai hari akhirat dan alam dunia.”  Al-Lail: 11-13

Bermegah-Megah Dengan Harta
“Adakah ia menyangka bahawa tidak ada sesiapapun yang melihatnya (dan mengetahui tujuannya menghabiskan harta bendanya itu? (Mengapa manusia terpedaya dan bermegah-megah?) Tidakkah Kami telah menjadikan baginya: dua mata (untuk ia memerhatikan kekuasaan dan kekayaan Kami?) Dan lidah serta dua bibir (untuk ia menyempurnakan sebahagian besar dari hajat-hajatnya)? Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan, (jalan kebaikan untuk dijalaninya, dan jalan kejahatan untuk dijauhi)?”  Al-Balad: 7-10

Manusia yang Tidak Menghargai Kebesaran Allah
“Dan Ia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya). Mengapa kamu berkeadaan tidak menghargai kebesaran Allah (dan kekuasaanNya.)” Nuh: 12-13

Ada Di Antara Anak dan Isteri yang Menjadi Musuh
“Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya ada di antara isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu yang menjadi musuh bagi kamu; oleh itu awaslah serta berjaga-jagalah kamu terhadap mereka. Dan kalau kamu memaafkan dan tidak marahkan (mereka) serta mengampunkan kesalahan mereka (maka Allah akan berbuat demikian kepada kamu), kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan di sisi Allah jualah pahala yang besar. Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu; dan dengarlah (akan pengajaran-pengajaranNya) serta taatlah (akan perintah-perintahNya); dan belanjakanlah harta kamu (serta buatlah) kebajikan untuk diri kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya. Al-Taghabun: 14-16

Perniagaan yang Terlebih Baik
“Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga ‘Adn'. Itulah kemenangan yang besar.”   Al-Saff: 10-12

Beriman Kepada Allah
“Berimanlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan belanjakanlah (pada jalan kebajikan) sebahagian dari harta benda (pemberian Allah) yang dijadikannya kamu menguasainya sebagai wakil. Maka orang-orang yang beriman di antara kamu serta mereka membelanjakan (sebahagian dari harta itu pada jalan Allah); mereka tetap beroleh pahala yang besar. Al-Hadid: 7

Gila Harta Benda dan Pangkat

“Dan Kami jadikan (sifat tamak dan gila mereka kepada harta benda dan pangkat itu sebagai) sekatan (yang menghalang mereka daripada memandang kepada keburukan dan kesingkatan masa dunia yang ada) di hadapan mereka, dan sekatan (yang menghalang mereka daripada memikirkan azab yang ada) di belakang mereka (pada hari kiamat). lalu Kami tutup pandangan mereka; maka dengan itu, mereka tidak dapat melihat (jalan yang benar).  Yaasin: 9
Membelanja Harta Kepada Perkara Hiburan yang Melalaikan
“Dan ada di antara manusia: orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan; yang berakibat menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari ugama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan; dan ada pula orang yang menjadikan ugama Allah itu sebagai ejek-ejekan; merekalah orang-orang yang akan beroleh azab yang menghinakan. Dan apabila dibacakan kepadanya ayat-ayat Kami, berpalinglah dia dengan angkuhnya, seoleh-oleh ada penyumbat pada kedua telinganya; maka gembirakanlah dia dengan balasan azab yang tidak terperi sakitnya.”  Luqman: 6-7

Apa Disisi Allah Adalah Kekal
“Dan apa jua (harta benda dan lain-lainnya) yang diberikan kepada kamu, maka adalah ia merupakan kesenangan hidup di dunia dan perhiasannya; dalam pada itu, apa jua yang ada di sisi Allah (yang disediakan untuk orang-orang yang beriman dan taat) adalah ia lebih baik dan lebih kekal; maka mengapa kamu tidak mahu memahaminya?” Al-Qasas: 60

Syurga Dekat Bagi Orang Takwa
“Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun; Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik); Dan (pada hari itu) didekatkan Syurga bagi orang-orang yang bertaqwa. As-Su’araa’: 88-90

Harta Kekayaan tidak Dapat Menolong
“Adapun orang yang diberikan menerima Kitab amalnya dengan tangan kirinya, maka ia akan berkata (dengan sesalnya): “Alangkah baiknya kalau aku tidak diberikan Kitab amalku; Dan aku tidak dapat mengetahui hitungan amalku. Alangkah baiknya kalau kematianku di dunia dahulu, menjadi kematian pemutus (yang menamatkan kesudahanku, tidak dibangkitkan lagi); Harta kekayaanku tidak dapat menolongku sedikitpun; Kuat kuasaku (dan hujjah-hujjahku membela diri), telah binasa dan hilang lenyap dariku.” (Lalu diperintahkan malaikat penjaga neraka): “Tangkaplah orang yang berdosa itu serta belenggulah dia; Kemudian bakarlah dia di dalam neraka Jahiim; Selain dari itu, masukkanlah dia dalam (lingkaran) rantai besi yang ukuran panjangnya tujuh puluh hasta, (dengan membelitkannya ke badannya)! Sesungguhnya dia dahulu tidak beriman kepada Allah Yang Maha Besar.” Al-Haqqa: 26-34

Manusia Yang Dikasihi Dan Dibenci Oleh Nabi s.a.w.
Orang yang berakhlak mulia adalah orang yang paling dikasihi oleh Rasulullah dan diberi tempat yang paling dekat dengan baginda di hari kiamat nanti. Bercakap-cakap kosong atau perkara-perkara yang sia-sia dan membuat fitnah adalah perbuatan yang dilarang oleh agama kerana ia tidak mendatang apa-apa kebaikan bahkan bakal mengundang azab di hari akhirat kelak. Islam juga melarang umatnya bersifat membangga diri dan memandang rendah serta menghina orang lain tetapi hendaklah bersifat tawaduk dan rendah diri demi menjaga hati dan perasaan orang lain.

Rasulullah s.a.w. bersabda, bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang paling aku kasihi di kalangan kamu dan orang yang paling dekat tempat duduknya denganku dihari kiamat ialah orang yang paling baik akhlaknya. Sesungguhnya orang yang paling aku benci dan paling jauh dariku pada hari kiamat ialah orang yang banyak bercakap perkara sia-sia, dan berlagak angkuh, sombong malah ia merasa bangga dengan kesombongannya.” Para sahabat bertanya lagi, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami telah mengetahui maksud perkataan orang-orang yang suka bercakap banyak yang sia-sia, dan yang berlagak angkuh dan sombong, tetapi apakah maksud orang yang bangga dengan kesombongannya? Jawab Rasulullah: “Orang yang takbur.” H.R. at-Tarmizi

Keras Kepala, Sombong dan Suka Mengumpul Harta Tetapi Tidak Suka Membelanjakannya untuk Kebaikan
Keras kepala (degil) adalah sifat orang yang tidak mahu menerima kebenaran. Begitu juga orang yang tamak pada harta dan tidak suka membelanjakan harta untuk kebaikan kerana sombong, mereka ini tergolong sebagai ahli neraka. Harta merupakan amanah Allah kepada menusia oleh itu ia hendaklah dibelanjakan untuk diri, keluarga dan orang-orang yang di bawah tanggungan serta memberi bantuan kepada orang yang memerlukannya dengan cara yang diredhai oleh Allah. Islam amat melarang umatnya bersifat dengan sifat-sifat yang tercela, seperti sombong, takbur, riak, keras kepala, suka tamak dan sebagainya kerana semua sifat-sifat ini boleh menyeret seseorang itu ke dalam neraka.
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Bukankah aku telah memberitahu kamu tentang ahli-ahli neraka? Mereka itu ialah orang-orang yang keras kepala, sombong, suka mengumpul harta tetapi tidak suka membelanjakannya untuk kebaikan.” H.R. Bukhari dan Muslim

Ketamakan Manusia
Manusia secara semulajadinya bersifat tamak dan dengki terhadap kelebihan orang lain. Kedua-dua sifat ini membawa kerugian kerana ia akan melahirkan individu yang tidak bersyukur sehingga hubungan dalam masyarakat menjadi rosak akibat daripada berlakunya pergaduhan dan persengketaan sesama sendiri. Selaku umat Islam kita dituntut untuk sentiasa bersyukur kepada Allah kerana dengan bersyukur hati kita akan tenang dan redo di samping mempercayai bahawa rezeki itu terletak di tangan Tuhan. Kita wajib berusaha sedangkan yang menentukannya adalah Allah s.w.t. Bahkan Allah telah berjanji bahawa rezeki orang yang bersyukur akan ditambah sebaliknya pula bagi orang kufur (tidak bersyukur). Lawan kepada sikap tamak itu adalah bersikap sederhana iaitu menolak keterlaluan di mana kita dituntut agar bersederhana dalam menetapkan sesuatu peraturan, perbelanjaan dan sebagainya tetapi mestilah menyeimbangkannya terutama dalam memenuhi tuntutan keduniaan dan tuntutan akhirat.

Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya: “Sekiranya anak Adam memiliki satu lembah daripada harta, nescaya ia mahu yang kedua dan sekiranya ia mempunyai dua lembah nescaya ia mahu yang ketiga. Tidak akan memenuhi perut anak Adam melainkan tanah dan Allah sentiasa menerima taubat orang yang bertaubat.” H.R. Ahmad

Cinta Kepada Dunia
Islam melarang mengumpul harta terlalu banyak untuk kepentingan diri sendiri. Sebaliknya ia digalakkan membelanjakannya untuk kebajikan semoga mendapat ganjaran daripada Allah s.w.t. Islam tidak melarang umatnya cintakan dunia dan mencari harta kekayaan yang banyak, asalkan harta-harta tersebut didapati dari unsur-unsur yang halal dan dibelanjakan untuk pembangunan ummah. Dan tidak hanya untuk disimpan sahaja. Umat Islam hendaklah sentiasa bersabar didalam menghadapi segala cubaan yang diberikan oleh Allah s.w.t. Serta berusaha untuk mengatasinya dari masa kesemasa.

Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya sahabat-sahabat kita yang telah lalu telah pun meninggal dunia Allah tidak mengurangi martabat mereka dengan sebab cintanya kepada dunia, dan sesungguhnya kita juga memperolehi harta yang banyak, tidak ada tempat untuk menyimpannya melainkan didalam Tanah. Kalaulah tidak kerana Nabi s.a.w. Telah melarang kita dari berdoa untuk mati, nescaya aku akan berdoa dengannya”. Kemudian kami datang kepada baginda disuatu ketika yang lain, sedang pada masa itu beliau sedang membina dinding, lalu Baginda pun bersabda, “Sesungguhnya seseorang muslim itu akan diberi pahala pada setiap perkara yang dibelanjakannya melainkan pada benda yang disimpannya dalam tanah, kerana melebihi dari keperluan.” H.R. Bukhari dan Muslim

Dunia Dan Wanita
Dari Abu Sa’id al-Khudri r.a., dari nabi s.a.w. sabdanya:”Sesungguhnya dunia itu manis. Dan sesungguhnya Allah telah menguasakannya kepada kamu sekelian. Kemudian Allah menunggu (memperhatikan) apa yang kamu kerjakan (di dunia itu). Kerana itu takutilah dunia dan takutilah wanita), kerana sesungguhnya sumber bencana Bani Israel adalah wanita.” H.R. Abu Sa’id al-Kudri

Orang yang Pentingkan Dunia
Jujur dan telus adalah sifat yang datang dari dalam jiwa insan yang beriman. Orang-orang yang selalu mementingkan dirinya tidak akan memikirkan kepentingan orang lain sebaliknya akan sanggup berbuat apa sahaja asalkan hajatnya tercapai. Dalam hal ini kehidupan kita bukanlah bersandarkan kehendak hawa nafsu tetapi ia perlu kepada semangat kekitaan dan kasih sayang yang mengenepikan segala unsur peribadi yang menjadikan seseorang itu lupa diri dan lupa saudara. Seharusnya apa sahaja yang dilakukan hendaklah bermula dari niat yang betul dan ikhlas. Kedua-dua sifat tersebut menentukan sejauhmanakah kita bepegang pada prinsip walaupun di akhirnya kita terpaksa berkorban.

Dari Abu Hurairah r.a. katanya: “Bersabda Rasulullah s.a.w.: “Tiga macam orang bukan saja tidak akan mendapat layanan dan ampunan pada hari kiamat kelak, bahkan akan mendapat seksa yang pedih, iaitu seorang yang mempunyai kelebihan air di tengah padang pasir, sedangkan ia tidak mahu memberikannya kepada orang yang kehausan, seorang yang menjajakan barang dagangannya sesudah lewat waktu Asar sambil bersumpah dusta bahawa pokoknya sekian-sekian dan dipercayai oleh si pembeli dan seorang lagi yang membai’at pemimpin hanya untuk maksud manfaat keduniaan; apabila kelak maksudnya tercapai, ia patuh dan jika tidak, ia mungkir (berpaling tadah).” H.R. Muslim

 http://www.frekuensikaya.com/

No comments:

Post a Comment