Sunday, March 20, 2011

BAB 1 : MENGAPA PERLU KAYA

Masyarakat kita seringkali menganggap negatif terhadap orang kaya dan mencemburui orang kaya. Mungkin juga mereka melihat segelintir orang kaya yang berkelakuan tidak baik, sombong atau tidak mengendahkan orang miskin. Ibarat ada pemisah antara orang kaya dan miskin. Walhal dalam Islam, antara miskin dan kaya itu patut bantu-membantu dan saling memerlukan. Contohnya orang kaya memerlukan tukang membaiki paip di rumahnya yang sudah rosak, atau kerja-kerja buruh yang perlu dilakukan. Sebaliknya orang miskin perlukan orang kaya untuk menyediakan peluang-peluang pekerjaan, membina masjid, memberi sumbangan untuk membiayai kos pembangunan dan sebagainya.

Dalam bab berikut ini kita akan melihat satu-persatu aspek kaya-miskin dan mengapa kita perlu kaya menurut pandangan Islam dan melihat kepada realiti kehidupan itu sendiri.

Jangan Jadi Mereka yang Terbuang
Berita ini telah disiarkan dalam BH pada 23 Mei, 2010, iaitu 489 kes orang yang dihantar ke HKL tetapi tidak dijemput oleh keluarga atau anak selepas mereka sembuh.  Kes ini adalah satu fenomena baru dalam masalah sosial yang antara faktor penyebabnya ialah kemiskinan, sama ada berpunca daripada anak,  keluarga atau pesakit itu sendiri. Jika diteliti, kemiskinan menyebabkan orang benci kepada kita kerana terpaksa menagih simpati dan belas kasihan orang lain untuk survival kita. Sebaliknya jika 489 orang yang terlantar ini adalah orang yang berada atau kaya, InsyaAllah perkara ini tidak mungkin berlaku kerana mereka boleh berdikari.



Memberi Makan Kepada Orang Miskin
Islam memandang tinggi kepada orang yang rajin memberi makan kepada orang miskin.
Abdullah Ibnu Umar r.a. menceritakan bahawa seorang lelaki berkata kepada nabi s.a.w.: “Manakah amalan Islam yang paling baik? Nabi menjawab; “Engkau memberikan makanan kepada orang-orang miskin dan engkau mengucapkan salam kepada orang yang telah engkau kenal dan kepada orang yang belum engkau kenal.” (H.R. Bukhari dan Muslim )
Rasulullah s.a.w. menerangkan bahawa sebaik-baik amalan dalam syariat Islam ialah memberi makan dan bermurah hati kepada fakir miskin sama ada dengan cara menjamu mereka atau sebagainya. Dalam hal memberi makan ini, adalah dilarang memilih-milih untuk memberi makan kepada orang yang berada sahaja dan meninggalkan yang miskin kerana orang yang miskin adalah lebih berhajat kepada makanan. Di samping itu, sekiranya kita tidak mempunyai apa-apa untuk diberikan, bagaimana kita boleh melaksanakan tanggungjawab ini?

Allah Menyukai Mukmin yang Kuat
Dalam hadis yang berikut ini dijelaskan mengapa Islam menitikberatkan soal kekuatan Mukmin. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Mukmin yang kuat lebih disukai oleh Allah daripada mukmin yang lemah.” H.R. Muslim
Kemiskinan Membawa Kepada Kekufuran
Takdir yang ditentukan Allah terhadap hamba-Nya tidak sama, sesetengahnya di luar kehendak hamba itu sendiri. Ada yang dapat memiliki rumah bagai istana, berpangkat tinggi serta dapat menikmati makanan yang enak-enak dan ada juga yang hanya duduk di pondok usang dan makan sekadar untuk mengalas perut. Namun Allah tidak pernah menzalimi hamba-Nya. Jika seseorang itu dapat menghadapi setiap ujian dan takdir Allah itu dengan redha, berharap dan takut pada kemurkaan-Nya, tentulah setiap takdir itu akan menguntungkannya. Jika dikurniakan kekayaan, maka dengan kekayaan itu dia dapat membantu orang yang susah, anak-anak yatim, fakir miskin serta melakukan lain-lain kebajikan sehingga ia menjadi lebih hampir kepada Allah dan mendapat rahmat serta kasih sayang-Nya. Sebaliknya jika ditakdirkan menerima nasib yang kurang baik seperti miskin dan sebagainya, tetapi dia sanggup bersabar di samping berusaha, maka Allah akan membalasnya dengan seribu rahmat. Inilah yang dikatakan Rahmat dari Allah, iaitu setiap yang Allah anugerahkan kepada kita ada rahmat dan  kelebihannya.

Oleh kerana Allah telah memberikan kita akal fikiran dan dan meneliti hadis berikut ini, Kita hendaklah berusaha untuk tidak menjadi miskin kerana barangkali ini boleh membawa kepada kekufuran (nauzubillah) oleh kerana terdesak untuk mencari makanan, keperluan atau sebagainya. Kalau dilihat suasana hari ini, kita lihat perkara ini pernah terjadi di kalangan pembantu rumah yang datang dari Negara luar kerana terpaksa bekerja dengan orang yang bukan Islam dan ini menjejaskan akidahnya sekiranya tidak dibenarkan solat, beramal dan sebagainya. Bukan hanya tidak bersolat, malah kehidupan hariannya telah terikut-ikut dengan majikannya seperti berseluar pendek, makan dan minum barang yang haram, melakukan persetubuhan haram dan sebagainya. Dari segi kebersihan juga ada syak kerana di rumah majikannya terdapat anjing dan benda-benda yang haram. Jadi, bagaimanakah seseorang itu boleh beribadat dengan  tenang sekiranya terdapat syubhah dan perkara yang diharamkan dalam rumah itu. Adalah diharapkan perkara ini dapat dijauhi kerana Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang maksudnya: “Kemiskinan membawa kepada kekufuran dan hasad mengatasi qadha’ dan qadar.” H.R. Abu Naim

Memberi Nafkah Untuk Orang Miskin
Orang Islam tidak seharusnya mengabaikan tuntutan untuk membantu orang yang miskin yang tidak berkemampuan. Dari segi ganjaran pun ia adalah sama dengan pahala orang yang berjuang fi sabilillah. Untuk membolehkan seseorang membantu orang miskin, mereka hendaklah terlebih dahulu digolongkan orang yang berada atau mempunyai sesuatu untuk diberi, lebih labih lagi orang yang kaya kerana sudah tentu mereka mampu memberi yang banyak.
“Dan berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau.” Al-Israk 26.
Dari Abu Hurairah r.a, dari nabi s.a.w. sabdanya yang bermaksud:”Orang-orang yang berusaha mencari nafkah untuk perempuan-perempuan yang tidak (belum) bersuami dan untuk orang-orang miskin, sama dengan orang-orang yang berjuang fi sabilillah.”  H.R. Muslim
Sebaik-Baik Nafkah
Nafkah mendapat kedudukan yang istimewa dalam Islam. Orang yang memberi nafkhah diberi pahala yang amat besar, ibarat sebutir benih mencambahkan 700 buah.

Firman Allah yang maksudnya: “Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan ingatlah! Allah akan melipatgandakan pahala (ganjaran) bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya lagi meliputi ilmu pengetahun-Nya.”Al-Baqarah:261
Walau bagaimanapun, keadaan ekonomilah yang menentukan seseorang itu boleh memberi nafkah. Keadaan ekonomi membolehkan seseorang untuk menanggung keperluan hidupnya, bahkan ibadat-ibadat seperti haji dan zakat perlu dilakukan dengan menggunakan harta. Sedekah juga memerlukan harta. Membuat kebajikan seperti mendirikan masjid, hospital, sekolah dan lain-lain juga memerlukan harta. Oleh kerana besarnya peranan harta kepada kehidupan manusia, maka kebanyakan daripada aktiviti manusia berkisar pada soal harta atau ekonomi.Orang yang benar-benar beriman kepada Allah s.w.t. tidak harus bersikap tamak dalam mengumpulkan harta tetapi hendaklah membelanjakannya ke jalan Allah dan yakin dengan janji Allah tentang rezekinya. Sejarah banyak menceritakan tentang sikap orang-orang beriman terhadap harta. Saidina Abu Bakar as-Siddiq r.a. contohnya, menyumbangkan kesemua hartanya untuk jihad fi-sabilillah, tidak ada satu dirham pun disimpannya. Apabila Rasulullah s.a.w. bertanyakan kepadanya mengapakah tidak ditinggalkan sedikit untuk menguruskan keperluannya, beliau menjawab, “Cukuplah Allah dan Rasulullah bagiku.”
Abdul Rahman bin Auf yang terkenal dengan kekayaannya, mencari harta bukan untuk kepentingan dirinya tetapi untuk kegunaan menyebarkan agama Allah s.w.t. Salman al-Farisi ketika memegang jawatan amir, tidak mengambil gajinya, sebaliknya beliau menganyam daun kurma untuk dijadikan bakul dan tikar. Hasil anyamannya dijual dan apa yang diperolehinya dibahagikan kepada tiga bahagian. Satu bahagian sebagai modal pusingan, satu bahagian sebagai belanja ahli rumahnya dan satu bahagian lagi disedekahkan kepada golongan miskin. Oleh itu sesiapa yang menguruskan harta perlulah menjalankan amanah Allah s.w.t. dan menafkahkannya atas dasar kehambaan kepada-Nya dengan sebaik mungkin.
Dari Tsauban r.a., katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda:”Sebaik-baik dinar (wang atau harta) yang dinafkahkan oleh seseorang ialah yang dinafkahkannya untuk keluarganya untuk ternakan yang dipeliharanya, untuk kepentingan membela agama Allah (fi sabilillah) dan nafkah untuk para sahabatnya yang berperang fi sabilillah.” H.R. Muslim

Keperluan Untuk Mendirikan masjid
Ganjaran menghadirkan diri ke masjid seperti hadis di bawah adalah sangat besar sehingga dianugerahi tempat di syurga.

Diriwayatakan daripada Abu Hurairah r.a., dari nabi s.a.w., baginda bersabda: “Sesiapa yang pergi ke masjid pagi atau petang nescaya disediakan Allah tempat baginya di syurga, setiap kali dia pergi pagi atau petang.” H.R. Bukhari
http://www.frekuensikaya.com/

No comments:

Post a Comment